Berita Terkini

KBS Bersikap Terbuka Dan Bertanggungjawab Dalam Menangani Isu Rasuah

PUTRAJAYA, 9 Nov. – Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) adalah merupakan satu dokumen dasar antirasuah di peringkat organisasi yang bertujuan untuk menangani permasalahan dan kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam organisasi. Ia selaras dengan inisiatif 2.1.5 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang mewajibkan sektor awam untuk membangunkan OACP ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, pelaburan yang menguntungkan bukan sahaja dalam melaksanakan aktiviti yang memberi keberhasilan terhadap objektif agensi. Tetapi pelaburan masa, tenaga dan kewangan dalam membangunkan integriti warga sesebuah organisasi juga dilihat penting. Justeru, usaha berkaitan integriti dan pencegahan rasuah bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat untuk dilaksanakan.

“Saya melihat perkara ini adalah bukti dan penzahiran komitmen kepimpinan KBS dalam mengukuhkan integriti warganya.

”Sebagai agensi utama dalam pencegahan rasuah, SPRM komited untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan bagi membanteras segala bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Tambah beliau, seperti kata pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada merawati’, aktiviti pendidikan dan pencegahan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa terutama dalam kalangan warga KBS dan agensi-agensi di bawah selian KBS. Datuk Seri Azam turut mengingatkan lagi di mana ‘tiada pemberi, maka tidak akan ada penerima’.

Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Integriti Dan Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) KBS yang diadakan di Menara KBS hari ini.

Selain itu, warga KBS juga telah melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di mana sesi lafaz tersebut telah diketuai oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu dengan disaksikan oleh Datuk Seri Azam.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Dato' Sri Ti Lian Ker; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, KPKPj Nurahim Abd Rahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Abdullah Hassan serta Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Ramona Mohd Razali.


Hit : 467