Berita Terkini

Integriti Senjata Perangi Rasuah

KUALA LUMPUR, 5 Nov. - Integriti yang tinggi merupakan senjata dalam diri setiap individu supaya tidak terjebak dalam sebarang perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, setiap individu perlu mempunyai keazaman yang kuat untuk menolak perlakuan rasuah walaupun berdepan dengan tekanan yang tinggi.

“Antara punca berlakunya rasuah adalah disebabkan kurangnya keimanan dan ketakwaan dalam diri seseorang individu.

“Selain itu, faktor kelemahan dalam kepimpinan dan pengurusan sesebuah organisasi juga boleh memberi ruang serta kesempatan kepada pemberi dan penerima rasuah untuk melakukan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Integriti Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) 2021 di Menara UOA, di sini, hari ini.

Tambahnya, SPRM mengharapkan kerjasama jangka masa panjang bersama Prasarana dalam usaha memerangi jenayah rasuah khususnya dalam semua urusan perniagaan.

“SPRM akan terus komited dalam menjalankan tugas dan sentiasa bersedia menerima maklumat serta aduan berkaitan salah laku rasuah bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah.


Hit : 598