Berita Menarik

Denda RM10,000 kemuka dokumen palsu lebihan 50,000 diesel

KUALA TERENGGANU: Bekas penolong penyelia syarikat pembekal minyak didenda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan lebihan 50,000 liter minyak diesel, lapan tahun lalu.

Hakim Dazuki Ali menjatuhi hukuman itu selepas Hasrul Amran Mamat, 43, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Hasrul Amran didakwa mengemukakan resit palsu bagi mendapatkan lebihan 50,000 liter minyak diesel gantian yang bernilai RM135,000 serta caj servis berjumlah RM4,225.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Petronas Maritim, Petronas Cari Gali Sdn. Bhd. di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), Kemaman pada 18 Ogos 2013.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hisham Hashim.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Sumber : Utusan

Hit : 1825