Kolumnis@SPRM

Rasuah Dalam Pemberian & Penerimaan Hadiah


Oleh :
KPKPj NAZLI RASYID SULONG
Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia


Setiap kali menjelang musim perayaan sama ada menyambut Aidilfitri bagi masyarakat Islam dan Tahun Baru Cina bagi masyarakat Cina,amalan kunjung-mengunjung sesama keluarga dan sahabat merupakan amalan yang mengeratkan hubungan silaturrahim dan ukhuwah persaudaraan antara satu sama lain. 


Kebanyakan negara, termasuklah Malaysia, amalan pemberian buah tangan merupakan satu adat yang diamalkan oleh masyarakat supaya tidak hadir ke rumah orang dengan ‘tangan kosong


Perkara ini juga sememangnya telah dipraktikkan dan sebati dalam dunia korporat dan perniagaaan di mana ianya satu kebiasaan untuk bertukar-tukar momento atau hadiah korporat semasa sesuatu lawatan kerja, perasmian, program dan sebagainya. 


Amalan memberi hadiah atau buah tangan selalunya diibaratkan sebagai sedekah atau tanda penghargaan dan pengiktirafan daripada pemberi. 


Amalan ini memanglah dianggap baik seandainya pemberian itu dibuat dengan niat yang ikhlas, jujur dan bertujuan untuk mengeratkan persahabatan dan ukhuwah antara pemberi dan penerima. Namun, pemberian hadiah itu boleh menjadi rasuah apabila hadiah itu diberi dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu keistimewaan, keuntungan, perkhidmatan daripada pihak yang berkaitan dengan tugas atau urusan rasminya dan ianya akan menjadi barah dalam masyarakat.


Masyarakat pada umumnya masih tidak begitu jelas sama ada pemberian atau penerimaan sesuatu hadiah itu dibolehkan mengikut undang-undang dan peraturan yang sedia ada. Kesamaran ini berkemungkinan berpunca daripada keadaan di mana adakalanya hadiah atau tanda ingatan yang pada peringkat awalnya memang boleh diterima atau diberi, tetapi disebabkan adanya faktor kepentingan (favour) iaitu urusan rasmi dengan sesuatu jabatan atau majikan boleh menjurus kepada perbuatan rasuah yang merupakan satu kesalahan.

 

Tafsiran Rasuah 


Rasuah ditafsirkan sebagai pemberian atau penerimaan wang sogokan, komisen, pelincir, duit kopi, ang powkau tim’ atau ‘under table money’ bagi masyarakat umum. 

Dalam Bahasa Melayu, rasuah bermaksud pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap) (Kamus Dewan edisi keempat 2005, Dewan Bahasa Pustaka).


Dalam konteks Bahasa Arab, rasuah disebut sebagai ‘ar-risywah’ atau ‘ar-rasywah’ yang bermaksud sesuatu penyambung yang dapat menghantarkan tujuan dengan harta sogokan.


Rasuah dalam Bahasa Latin pula berasal daripada perkataan corruptio, iaitu daripada kata kerja corrumpere yang membawa erti busuk, rosak, menggoyahkan, memutar belit, danmenyogok. 


Dari sudut undang-undang, pengertian rasuah tidak dinyatakan secara khusus, tetapi yang hanya dinyatakan adalah takrifan suapan. Seksyen 3, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 menakrifkan suapan sebagai:


(a) wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat seumpamanya itu yang lain;
(b) apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat; 
(c) apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
(d) apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan;
(e) apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
(f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain;
(g) apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f).


Larangan Memberi & Menerima Hadiah


Pegawai awam dilarang daripada memberi atau menerima hadiah sekiranya berkaitan dengan tugas awamnya dan/ atau bentuk, amaun atau nilai hadiah itu tidak sepadan dengan maksud hadiah itu diberi (jika penerimaan hadiah tidak berkaitan dengan tugas awam. Penerimaan hadiah dianggap tidak sepadan dengan maksud hadiah itu diberi jika nilai semasa hadiah itu melebihi satu perempat emolumen bulanan atau melebihi RM500, mana yang lebih rendah. 


Penerimaan hadiah itu hendaklah dilaporkan kepada Ketua Jabatan untuk kelulusan. 


Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 3 Tahun 1998 (PP Bil.3/1998) mentakrifkan hadiah termasuklah wang, harta alih atau tak alih, kenderaan, tambang percuma, saham, tiket loteri , kemudahan perjalanan, hiburan, perkhidmatan, keahlian kelab, apa-apa bentuk diskaun atau komisen, hamper, barang kemas, perhiasan, apa-apa pemberian, cenderamata, atau apa-apa benda yang bernilai yang diberi kepada atau diterima oleh pegawai itu, isterinya atau mana-mana orang lain bagi pihaknya daripada mana-mana orang, dengan tiada balasan (without consideration) atau balasan yang diketahui oleh pegawai itu tidak mencukupi ataupun mencukupi. 


Polisi Hadiah bagi Sektor Swasta & Korporat


Bagi sektor swasta dan korporat pula, Polisi Penerimaan dan Pemberian Hadiah dibangunkan di peringkat organisasi sendiri. Kebanyakan syarikat mengambil inisiatif melaksanakan Polisi Pengurusan Hadiah sebagai panduan yang jelas dan terperinci bagi warga kerja organisasi dalam mengatasi sebarang isu serta menjawab sebarang pertanyaan dan kemusykilan berkaitan hadiah.


Antara perkara yang termaktub dan terkandung di dalam Polisi ini meliputi Pengertian dan Definisi Hadiah, Bentuk dan Had Nilai Hadiah, Pematuhan kepada Polisi, Saluran Pelaporan, Saluran Aduan Salah Laku, Borang Perakuan Penerimaan atau Pemberian Hadiah dan sebagainya.


Polisi ini dihebahkan kepada seluruh warga kerja bagi memupuk kesedaran dan meningkatkan pemahaman tentang tatacara penerimaan dan pemberian hadiah yang betul. 

Kebanyakan syarikat juga mengenakan penalti dan tindakan tatatertib yang tegas terhadap mana-mana staf atau kakitangan yang ingkar atau gagal mematuhi Polisi Hadiah yang telah ditetapkan. 


Selain itu juga, Polisi ini juga diwar-warkan kepada pemegang taruh (stakeholders), pihak ketiga (third parties) seperti vendor atau pembekal dan orang awam bagi mempertahankan etika kerja dan ketelusan dalam hubungan dan aktiviti perniagaan untuk mengelakkan percanggahan kepentingan.  


Rujuk Kepada SPRM


Penerimaan hadiah oleh warga kerja sektor awam dan swasta boleh menimbulkan persepsi negatif dan menjejaskan imej perkhidmatan awam dan syarikat. Sekiranya wujud perasaan sangsi atau musykil berhubung pemberian dan penerimaan hadiah, rujukan perlu dibuat kepada Ketua Jabatan, Pengurus Syarikat atau SPRM. 


* Sebarang kemusykilan atau pertanyaan mengenai hadiah, boleh dimajukan kepada Cawangan Kajian dan Pengurusan Informasi (CKPI) Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) di emel hadiah@sprm.gov.my

 


Hit : 10445