Berita Pendidikan

300 Pensyarah IPT Swasta Hadir ToT Kursus Integriti Dan Antirasuah

PUTRAJAYA, 26-27 Okt – Seramai 300 pensyarah institut pendidikan tinggi (IPT) swasta menyertai Latihan Bimbingan Tenaga Pengajar (Training of Trainers) bagi Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR). Program ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM. Training of Trainers (ToT) ini adalah siri pertama daripada empat siri yang dirancang khusus untuk pensyarah IPT swasta. 

Pada 19 April 2021, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) bersetuju agar semua IPT di Malaysia menawarkan KIAR. KIAR akan ditawarkan sebagai kursus elektif mulai 2021 dan seterusnya menjadi kursus wajib pada tahun 2023. 

 

Sebagai persediaan kepada penawaran KIAR di IPT, KPT dan SPRM bekerjasama mengadakan beberapa siri ToT kepada bakal pensyarah kursus tersebut. Sebelum ini, sesi latihan telah diadakan kepada pensyarah-pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia pada 5 dan 12 Jun 2021 (sebagai projek rintis ToT), 18 universiti awam (7 dan 8 Ogos 2021), 35 kampus Universiti Teknologi MARA (16 dan 17 Ogos 2021), 36 Politeknik dan 104 Kolej Komuniti (13 dan 14 September 2021).

 

Objektif utama ToT adalah memberi pendedahan kepada semua pensyarah yang terlibat dalam mengendalikan KIAR mengenai topik-topik yang terkandung dalam kursus tersebut. Dalam setiap ToT, terdapat tiga sesi perkongsian bagi menjadikan sesi ini lebih menarik iaitu perkongsian Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai universiti awam pertama yang menawarkan KIAR; perkongsian pengalaman siasatan SPRM dalam kes berprofil tinggi; dan sesi bersama bekas pesalah rasuah.


Hit : 788