Berita Terkini

USIM Johan Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM Tahun 2021

PUTRAJAYA, 27 Okt. – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobat sebagai johan Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM Tahun 2021 di sini dengan mengalahkan penyertaan 40 pasukan pendebat dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara. 


USIM yang dibarisi tiga pendebat pulang dengan hadiah piala pusingan, piala iringan, piala individu, buku tajaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wang tunai RM5,000 dan sijil pencapaian.


Naib johan pertandingan pula dimenangi oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membawa pulang hadiah piala individu, buku tajaan DBP wang tunai RM3,000 dan sijil pencapaian. Manakala, pendebat terbaik pertandingan ini dirangkul oleh Mohd Zulzarif Mohd Zakuan dari UniSZA yang turut membawa pulang hadiah piala individu, buku tajaan DBP wang tunai RM1,000 dan sijil pencapaian.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, mahasiswa merupakan bakal pemimpin masa hadapan dan mereka inilah bakal menggantikan pemimpin yang ada pada hari ini. Namun dalam membentuk bakal pemimpin yang berkualiti, ia perlu melalui proses penyediaan yang mantap dan rapi.


"Mahasiswa adalah 'Key Communicator' bagi SPRM untuk terus menyebar luas mesej antirasuah di dalam mahupun di luar kampus. 


"Setiap mahasiswa akan berada di universiti sekitar tiga hingga enam tahun. Justeru, masa yang ada itulah mahasiswa perlu mengoptimumkan proses pembinaan identiti generasi masa depan. Inilah sumbangan kecil mereka terhadap pembangunan masyarakat Malaysia di masa hadapan," katanya.


Tambah beliau, SPRM ingin menekankan bahawa sebagai rakyat Malaysia kita harus bersatu dalam agenda memerangi rasuah dalam membentuk minda rakyat kelas pertama pada hari ini.


Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Malaysia merangkap Pengerusi Sekretariat Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Profesor Dr Shamsul Sahibuddin; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor; Wakil Ketua Pengarah DBP, Tuan Hj Razali Che Mat; Wakil Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, PKPj Abdulamin Abdillah; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan Alumni USIM, Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani dan wakil Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan Alumni UniSZA, Profesor Madya Dr Abdullah Ibrahim serta Pengarah-Pengarah Bahagian SPRM.


Hit : 472