Berita Terkini

ESDK SANGUINE & FARANG INVICTUS’ Juarai Kejohanan PUBG SPRM I-Contender 2021

Putrajaya, 24 Okt. – Pasukan ‘ESDK SANGUINE’ dan ‘FARANG INVICTUS’ menjuarai kejohanan PUBG SPRM I-Contender 2021 pada 24 Oktober lepas. ESDK SANGUINE menjuarai kategori terbuka dan berjaya membawa pulang RM4,000 manakala pasukan FARANG INVICTUS memenangi RM1,500 bagi kategori wanita mengatasi 254 pasukan lain.

Kejohanan e-sukan PUBG ini bertemakan ‘Keluarga Malaysia Benci Rasuah’ telah disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi MESF dan SPRM Community.

Kejohanan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan 1,280 penyertaan sekaligus menjadi petunjuk bahawa masyarakat Malaysia terbuka dalam penerimaan mesej antirasuah melalui pelbagai platform dan salah satunya dari peminat sukan ini. Kejohanan pada kali ini menampilkan kelainan dengan mempertandingkan kategori wanita selain daripada kategori terbuka. Tumpuan khusus terhadap golongan tersebut amat penting bagi memastikan wanita turut mempunyai informasi mengenai rasuah selain membimbing dan menjaga ahli keluarga yang lain supaya turut tidak terjebak dalam jenayah ini.

Wanita juga berperanan untuk tampil ke hadapan bagi melaporkan kes melibatkan rasuah. Sementara itu, seramai tujuh orang pengulas permainan atau Caster terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita telah memainkan peranan sebagai agen dalam menyalurkan mesej-mesej antirasuah SPRM secara santai kepada pemain dan penonton. Selain itu, pelbagai video serta info pencegahan rasuah turut ditayangkan sepanjang kejohanan itu berlangsung.


Hit : 1080