Berita Menarik

Tipu: Bekas pemandu F4 negara didenda RM308,500

SHAH ALAM: Seorang bekas pemandu Formula 4 (F4) negara dijatuhi hukuman denda RM308,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan pilihan menipu dua lelaki bagi mendapatkan kad pengenalan dan sijil kelahiran membabitkan kerugian berjumlah RM276,500 antara November 2017 hingga April 2019.

Hakim Rozilah Salleh memutuskan hukuman itu serta memerintahkan tertuduh, Eric Louis Pragasam, 24, menjalani hukuman penjara selama 87 bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Bagaimanapun, tertuduh memilih membayar denda tersebut.

Dalam penghakimannya, Rozilah berharap tertuduh yang masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah dapat menjadikan hukuman itu sebagai pengajaran.

“Saya tidak kenakan hukuman penjara tetapi saya mahu tertuduh tahu ini merupakan satu kesalahan yang serius.

“Saya juga mengambil kira usia tertuduh masih muda dan mempunyai masa depan yang masih cerah. Saya harap hukuman ini menjadi iktibar buat kamu,” katanya.

Berdasarkan 10 pertuduhan pilihan, Eric yang pernah mewakili negara dalam perlumbaan F4 ketika berusia 12 hingga 19 tahun didakwa menipu dua individu dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai dia boleh membantu bagi mendapatkan kad pengenalan dan sijil kelahiran daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Perbuatannya itu telah mendorong mereka memasukkan wang berjumlah RM230,500 ke dalam akaun milik tertuduh di beberapa bank terletak di daerah Petaling antara 3 November 2017 sehingga 12 April 2019.

Salah seorang mangsa turut memindahkan baki RM46,000 melalui akaun bank milik isterinya ke akaun milik tertuduh di sebuah bank di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 17 April 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguambela, Datuk Salehuddin Saidin dalam rayuannya memohon mahkamah agar mempertimbangkan pengakuan bersalah atas 10 pertuduhan pilihan itu berbanding pertuduhan asal iaitu sebanyak 32 pertuduhan yang telah menjimatkan masa dan kos banyak pihak.

Selain itu, tertuduh yang pernah mewakili negara selama tiga tahun dalam perlumbaan F4 banyak terlibat dalam program komuniti terutama dalam menghulurkan sumbangan berbentuk wang ringgit mahupun tenaga bagi membantu golongan gelandangan, anak yatim dan sebagainya.

“Tertuduh tinggal dengan keluarga, ibu bapanya tidak bekerja dan dia menjadi penyumbang kepada keluarga dalam pembayaran bil dan ansuran pinjaman perumahan. Dia datang daripada keluarga baik.

“Tertuduh amat menyesali atas perbuatannya dan memohon maaf pada semua pihak,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab bagaimanapun mahu hukuman berbentuk deteran mengambil kira kepentingan awam supaya dapat menjadi mesej kepada tertuduh bahawa kesalahan menipu dan memperdaya ialah kesalahan yang serius.

Pihak pendakwaan turut memohon 22 pertuduhan lain dilepas dan dibebaskan. Mahkamah membenarkan permohonan terbabit.

Kes tersebut pertama kali disebut pada 17 Julai 2020 dengan tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap 32 pertuduhan menipu dan memperdaya dua lelaki bagi mendapatkan kad pengenalan, lesen memandu dan pasport, membabitkan kerugian RM709,200 sekitar November 2018 hingga Jun 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Formula 4 adalah kategori kereta lumba dengan roda terbuka sepenuhnya bagi pemandu remaja.

Sumber : Utusan


Hit : 2437