Berita Menarik

Pemandu kenderaan jabatan kerajaan direman lima hari

Shah Alam: Seorang pemandu kenderaan sebuah jabatan kerajaan direman lima hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan berjumlah lebih RM10,000.

Permohonan reman lima hari sehingga 26 Oktober itu dibenarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 31 tahun itu ditahan sekitar 2 petang semalam di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, suspek yang bertugas sebagai pemandu kenderaan di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur itu meminta dan menerima wang suapan berjumlah lebih RM10,000 daripada seorang pengarah urusan sebuah syarikat.

Difahamkan, ia sebagai balasan membantu mendapatkan kerja penyelenggaraan kenderaan jabatan kepada syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.


Hit : 1984