Berita Menarik

Bekas Timbalan pengarah SKMM dipenjara

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini dihukum penjara enam bulan dan denda RM87,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berhubung kelulusan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu ke atas Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pos dan E-Dagang SKMM, Mohd Iskandar King, 44, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Iskandar dihukum penjara enam bulan dan denda RM50,000 atau penjara 30 hari manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dihukum penjara masing-masing tiga bulan dan denda RM18,500 atau penjara 14 hari penjara.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani ketiga-tiga hukuman serentak, bermula hari ini.

Mahkamah juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan terhadap tertuduh daripada RM20,000 kepada RM30,000.

Mohd Iskandar didakwa menerima wang tunai RM50,000 daripada Pengarah Syarikat Golden Sunrise Ventures Sdn Bhd, iaitu Mohd Azuzi Mohamed Kamil, yang juga pakar runding bagi Syarikat OCK Setia Engineering Sdn Bhd sebagai upah kerana membantu mendapatkan projek USP Time 3 Extension Fasa 1 daripada SKMM untuk OCK Setia Engineering.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di IOI City Mall Putrajaya pada 8 malam 9 Jan 2019 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd Iskandar turut berdepan dakwaan menerima dua keping cek masing-masing bernilai RM18,500 atas nama isterinya, Nur Ellina Abdul Sukor dan atas nama sendiri daripada Mohd Azuzi yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bukit Jalil Golf and Country Resort pada 5 petang 23 Jun 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu Siti Noor Hafizan Zakaria dan R Francine Cheryl serta Pegawai Pendakwa SPRM Abdul Muntaqim Abdul Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam R Sivahnanthan.

Sumber : BERNAMA


Hit : 1915