OACP tingkatkan integriti dan ketelusan perkhidmatan warga kerja KKM
PUTRAJAYA, 8 Okt. – Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2021-2025 akan menjadi panduan dalam meningkatkan integriti dan ketelusan perkhidmatan warga kerja KKM.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Junipah Wandi berkata pembangunan pelan ini mencerminkan komitmen KKM yang serius dalam memerangi rasuah dalam kementerian ini.
“OACP perlu dijadikan ‘living document’ yang sentiasa dirujuk dan dibudayakan untuk mengurangi isu rasuah, salahguna kuasa, integriti serta isu governans dalam organisasi.
“Semua warga kerja KKM perlu bersatu dalam membangunkan sesebuah organisasi yang berintegriti dan mempunyai nilai 'good governance',” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran OACP KKM 2021-2025 di sini, hari ini.
Tambah beliau, Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) SPRM dapat membantu dalam memastikan warga kerja mengamalkan budaya kerja unggul selain membendung salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika dalam kalangan penjawat awam.
Majlis perasmian ini telah dilancarkan oleh Ketua Setiausaha KKM, Dato’ Mohd Shafiq Abdullah yang turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi KKM secara fizikal sementara Pengarah-pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri mengikuti majlis secara maya.
Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah; Ketua Unit Integriti KKM, Dato' Wan Ramli Wan Abdullah dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Kamaruddin M. Ripin.