Berita Terkini

"Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi"

PUTRAJAYA, 1 Okt. – Usaha memerangi rasuah merupakan tanggungjawab semua dan bukanlah tugas eksklusif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, sokongan dan kerjasama masyarakat dalam memerangi rasuah di negara ini penting demi menjunjung kedaulatan negara.

“Usaha SPRM tidak akan berjaya jika kita bertindak secara ‘silo’ tanpa sokongan masyarakat.

“Rasuah perlu dibanteras habis-habisan kerana amalannya boleh mengancam keselamatan dan menyekat pembangunan negara,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun BPR/SPRM Ke 54 bertemakan ‘Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi’ yang diadakan di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Tambah beliau, SPRM komited dalam mengukuhkan nilai, etika dan profesionalisme warganya dengan membangunkan Pelan Antirasuah SPRM (PARAS) 2021 - 2025 dan menambah baik serta memperkemaskan Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM sebagai salah satu langkah kawalan dalam usaha bagi memperkukuhkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan SPRM kepada masyarakat.

Dalam majlis tersebut, Datuk Seri Azam turut menyampaikan penganugerahan Pingat Khidmat Setia SPRM (PKS) 30 Tahun dan ke atas kepada 28 orang Pegawai-pegawai Kanan SPRM. Keseluruhannya seramai 461 warga SPRM layak diberi pengiktirafan PKS yang telah setia berkhidmat selama 15, 20, 25 dan 30 Tahun. Ia diberikan sebagai motivasi bagi penerimanya mengukuhkan jati diri, membentuk kesetiaan tidak berbelah selain memupuk rasa cinta terhadap organisasi.

Pada majlis tersebut juga telah diadakan Pelancaran Video Tatacara Pemakaian Pakaian Seragam SPRM dan Pelancaran Kad Kuasa Baharu SPRM.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), YB Senator Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim; Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Dato’ Nika Ujang; Pengerusi Jawatankuasa Aduan (JKA), Dato' Ahmad Said; Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO), Dato' Ahmad Rosli Mohd Sham; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) SPRM, Dato’ Junipah Wandi.

Hit : 306