Kolumnis@SPRM

Memahami Pengubahan Wang Haram dan Strategi Pemulihan Aset


Mohamad Zamri Zainul Abidin

Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)


Pengubahan wang haram ialah proses menjadikan wang atau aset yang diperoleh dari aktiviti haram kelihatan sah. Ia merupakan proses mencuci wang “kotor” bagi menyembunyikan sumber asal wang tersebut.

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) diberi kuasa untuk menguatkuasakan pemulihan aset yang dicuri melalui Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

 

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak salah faham tentang kegunaan kompaun sebagai salah satu strategi bagi pemulihan aset menggunakan Akta tersebut.

 

Dalam pemikiran biasa, seseorang yang telah didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram perlu dihukum dengan hukuman penjara, denda yang tinggi serta pemulihan keseluruhan aset yang dicuri.

 

Namun, realiti jauh lebih rumit. Pemulihan wang haram menjadi lebih rumit disebabkan perubahan modus operandi penjenayah yang beroperasi dalam sindiket dan mengubah hasil pendapatan haram mereka melalui syarikat yang didaftar secara sah dengan wakil serta penama sebagai topeng untuk menyembunyikan harta mereka.

 

Sememangnya, rasuah telah berubah dari ‘duit kopi’ kepada rasuah ‘di bawah meja’ kemudian gratifikasi ‘melangkaui meja’ sehingga menjadi transaksi kewangan rentas sempadan yang bertambah kompleks. Selalunya, ia dilakukan melalui transaksi kewangan yang kelihatan sah sementara hasil pendapatan haram dibelanjakan atau digunakan untuk tujuan sah atau haram bagi meningkatkan lagi hasil pendapatan. Ia juga boleh diderma kepada pertubuhan amal atau dijadikan sebagai bayaran untuk perkhidmatan atau pembelian yang sah ataupun bagi tujuan pembiayaan politik.

 

Kerumitan dan kecairan pengubahan wangharam menjadikan pemulihan aset lebih mencabar.

 

Kepentingan Akta Pengubahan Wang Haram, AMLATFPUAA 2001 ialah pemulihan aset untuk dipulangkan kepada pemilik mereka. Di sini, kita perlu faham tentang intipati atau semangat Akta Pengubahan Wang Haram yang berbeza daripada Akta-Akta lain.

 

Ia berbeza dari segi semangat Kanun Keseksaan yang digunakan untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman setimpal bagi mencegah penjenayah baharu. Walaupun elemen tersebut juga penting dalam AMLATFPUAA 2001, ia mengambil jalan yang lebih praktikal dengan pemahaman bahawa, jika penguatkuasa boleh menyita serta mengembalikan aset yang dicuri, nescaya sindiket yang beruntung dari hasil pendapatan haram itu dapat dilumpuhkan.

 

Andainya seseorang pesalah dituduh atas kesalahan pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda, ada kemungkinan pendakwaan kes tersebut mengambil beberapa tahun lamanya untuk membuktikan dengan tanpa keraguan kesalahan pesalah tersebut.

 

Pesalah itu juga boleh terlepas atasfaktor teknikal sewaktu proses rayuan yang panjang. Atau mungkin pesalah itu berjaya disabitkan dan dipenjarakan beberapa tahun, dan apabila dibebaskan,tidak mustahil bahawa dia masih boleh mengakses duitnya yang telah diubah dantelah dilabur secara sah melalui wakil-wakilnya.

 

Sebaliknya, terdapat beberapa strategi yang boleh diambil untuk pemulihan aset dengan menggunakan AMLATFPUAA2001. Antaranya, pendakwaan jenayah,pelucutan sivil, denda kompaun, pemulihan aset kepada pemilik-pemilik sah dan pemulihan aset dari orang-orang yang melarikan diri. Pemilihan strategi yang bakal digunakan bergantung kepada kesesuaian, keseimbangan risiko, kebolehan untuk mengumpul bukti dan saksi-saksi yang bergantung kepada perjanjian rentas sempadan dan lain-lain faktor yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan memulihkan aset.

 

Dalam kes mengenakan kompaun untuk pemulihan aset, AMLATFPUAA tidak perlu membuktikan tanpa keraguan bagi menawarkan pembayaran denda kompaun kepada tertuduh.

 

Kesalahan kompaun sama sekali tidak menyatakan bahawa tertuduh itu tidak bersalah. Ia merupakan tindakan punitif dan tindakan membayar kompaun tersebut merupakan satu pengakuan kesalahan. Strategi ini menjimatkan kos dan masa mahkamah dengan pemulihan sebahagian aset yang dipertikaikan tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang. Namun, jika tertuduh gagal membayar kompaun tersebut, dia boleh didakwa dalam perbicaraan penuh dalam mahkamah.

 

Di peringkat global, kadar kejayaan untuk pemulihan aset pengubahan wang haram ialah 30%. Disebabkan cabaran yang besar untuk mendakwa dan memulihkan aset-aset yang berkaitan dengan 1MDB, Malaysia telah menjadi terkenal berhadapan dengan salah satu skandal kewangan terbesar di dunia.

 

Sehubungan dengan ini, saya kagum untuk menyatakan bahawa SPRM telah berjaya mencapai sebanyak 45% dalam pemulihan aset, atau RM21 bilion dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Antarabangsa (International Task Force) mengenai pemulihan aset dan pendakwaan 1MDB. Ahli-ahli pasukan ini terdiri daripada Malaysia, Amerika Syarikat, Perancis, Singapura, Switzerland dan Luxembourg.

 

Pasukan Petugas Khas 1MDB ini  menyelaraskan usaha-usaha pemulihan aset, perkongsian maklumat dan bukti, membincangkan strategi terbaik dalam mendepani 1MDB di peringkat antarabangsa dan mengembangkan beberapa petunjuk baru berkaitan kes tersebut. Strategi kami juga selari dengan standard dan dasar antarabangsa Financial Action Task Force (FATF), United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) dan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC).

 

Diiktiraf sebagai negara peneraju dalam pemulihan aset antarabangsa, pada tahun ini, Malaysia telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dan memberi input dalam seminar-seminar yang dianjurkan oleh World Bank, Association of Certified Anti-Money Laundering Specialists (ACAMS) dan International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA).

 

Di peringkat dalam negara, SPRM masih terus memulihkan aset berkaitan 1MDB dengan menggunakan AMLATFPUAA 2001. Antaranya ialah dari 80 individu dan entiti yang dikenakan notis-notis kompaun kerana menerima dana berjumlah RM420 juta dari 1MDB.

 

SPRM akan terus melihat penyelesaian kompaun-kompaun tersebut serta cabaran-cabaran terhadapnya oleh individu-individu yang dikenakan notis-notis pada 2019. Kes baru-baru ini yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Maslan merupakan satu contoh. Beliau telah dikenakan kompaun pada Oktober 2019, namun memilih untuk dibicarakan dimahkamah pada masa itu.

 

Beliau kemudian didakwa dengan dua pendakwaan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 pada 20 Januari 2020 dan telah mengaku tidak bersalah. Semasa tempoh perbicaraan dijalankan, beliau telah mengemukakan representasi dan bersetuju semula untuk membayar kompaun tersebut. Perlu ditekankan bahawa kompaun tersebut ialah tindakan punitif dan satu bentuk pemulihan aset di bawah Akta tersebut.

 

Masyarakat patut elak dari membuat spekulasi bahawa individu-individu tersebut dilepaskan dengan mudah. Ini bukan isu politik. Ini merupakan faktor teknikal undang-undang yang didasari dalam semangat Akta tersebut yang bertujuan untuk pemulihan aset-aset supaya ia boleh dipulangkan semula kepada rakyat.


Hit : 6209