Berita Menarik

Ketua Unit Pembiayaan, kerani bank didakwa rasuah

Dua kakitangan sebuah bank termasuk Ketua Unit Pembiayaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan rasuah keseluruhan RM59,250 bagi membantu proses permohonan pembiayaan peribadi, dua tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Salahuddin Abu Bakar, 42 dan Yusni Yusof, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Berdasarkan lima pertuduhan utama masing-masing kepada Ahmad Salahuddin sebagai Ketua Unit Pembiayaan sebuah bank didakwa menerima rasuah berjumlah RM31,100 manakala Yusni sebagai kerani tingkatan khas unit pembiayaan menerima RM28,150 daripada seorang lelaki berusia 28 tahun.

Wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun syarikat milik Ahmad Salahuddin dan persendirian Yusni sebagai dorongan membantu permohonan pinjaman peribadi di bank berkenaan bagi enam individu berusia 27 hingga 41 tahun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Kedua-dua tertuduh juga masing-masing didakwa lima pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Perbuatan itu dilakukan Ahmad Salahuddin dan Yusni di dua buah bank di Kajang dan Seri Kembangan di antara 6 September hingga 1 November 2019.

Kedua-dua tertuduh yang sebelum ini bekerja di sebuah cawangan bank di Presint 15, Putrajaya dekat sini telah digantung tugas.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noryusriza Zulkifli menawarkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan bersama seorang penjamin kepada Ahmad Salahuddin dan Yusni.

Selain itu, syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, lapor diri setiap awal bulan di pejabat SPRM dan tidak boleh menemui atau menganggu saksi pendakwaan.

Peguam Muhammad Shafiq Shamsudin pula memohon jaminan dikurangkan dengan mereka sebelum ini telah dikenakan bon jaminan RM10,000 ketika dilepaskan dari reman.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 kepada Ahmad Salahuddin dan RM13,000 untuk Yusni serta membenarkan syarat tambahan pendakwaan.

Sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh ditetapkan 16 November depan. –

Kosmo! pada 9 Jun lalu melaporkan mereka yang disenarai hitam dan mempunyai hutang lapuk antara sasaran utama seorang pengurus dan lima lagi kakitangan bank untuk mendapatkan wang suapan bagi tujuan kelulusan pinjaman peribadi.

Mereka yang berusia 36 hingga 45 tahun itu telah aktif menjalankan perbuatan kotor itu sejak tahun 2018 hingga 2020 melibatkan 110 pinjaman peribadi bernilai RM18 juta.

Sumber : Kosmo

Hit : 2199