Berita Terkini

Program CeIO semai budaya kerja cemerlang

Putrajaya, 28 Sept. – Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) menjadi platform untuk membentuk budaya kerja cemerlang dalam menjalankan tugasan harian.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Junipah Wandi berkata kewujudan program CeIO ini akan merancakkan agenda pengukuhan integriti dalam organisasi secara terancang.

“CeIO merupakan pemimpin yang menjadi perhatian dan ejen perubahan dalam mewujudkan iklim budaya kerja cemerlang yang menolak rasuah secara menyeluruh.

“Program ini merupakan elemen penting dalam pembentukan sahsiah, etika, imej dan jati diri CeIO yang berintegriti,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dengan kerjasama Unit Integriti SUK Negeri Melaka, Siri 28 Bil.3/2021 secara maya.

Seramai 39 peserta terdiri daripada pegawai dari pelbagai agensi Kerajaan Negeri Melaka telah menamatkan kursus dan menghadiri program Seminar Kelestarian Integriti ini dan diharapkan akan menjadi pegawai integriti jabatan yang berpotensi memantau dan menganjurkan aktiviti berkaitan integriti dan antirasuah di jabatan masing-masing. Tema  program adalah "Pasca Pandemik : Memelihara Integriti".

Turut serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Dato' Ts. Kamel Mohamad dan Pengarah MACA, Dato’ Haji Idris Zaharudin.

Hit : 3210