Kes-kes Menarik

Tawar rasuah, pengarah syarikat didenda RM70,000

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, mengenakan denda RM70,000 terhadap seorang pengarah syarikat selepas mengaku bersalah menawarkan rasuah kepada pegawai penyiasat Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Januari tahun lalu.

Tertuduh, Wong Yeng Fart, 49, membuat pengakuan itu atas pertuduhan pilihan dikenakan terhadapnya di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Madihah turut mengarahkan tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara rasuah memberi wang tunai RM100,000 kepada dua individu iaitu seorang penolong pegawai penguat kuasa dan seorang pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan yang bertugas di Unit Kawalan Bekalan, Seksyen Penguat Kuasa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua pemilik syarikat Viss Motor Parts Sdn Bhd yang melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Perbuatan itu dilakukan pada 31 Januari tahun lalu di sebuah restoran di Seremban 2, di sini.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana lebih tinggi.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala tertuduh diwakili peguam daripada KF Wong & Lee.

Sumber : Berita Harian

Hit : 127