Berita Menarik

Pesara polis berpangkat ASP direman, kes suapan syarikat keselamatan

Seorang pesara polis berpangkat asisten superintenden (ASP) ditahan dan direman tiga hari selepas dipercayai meminta serta menerima suapan bulanan sehingga RM2,200 daripada sebuah syarikat keselamatan, dua tahun lalu.

Perintah reman sehingga 24 September itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Muhammad Nazrin Ali Rahim terhadap suspek berusia 60 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini hari ini kira-kira pukul 8.40 pagi dan proses permohonan reman selesai sejam kemudian.

Jurucakap SPRM berkata, suspek ditahan di Pejabat SPRM Melaka ketika hadir memberi keterangan pada pukul 8.05 malam tadi.

Katanya, suspek yang ketika kejadian bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka disyaki terlibat dalam kes meminta dan menerima wang rasuah sebanyak RM1,500 hingga RM2,200 sebulan daripada sebuah syarikat keselamatan.

Wang tersebut sebagai balasan membantu mendapatkan kerja kawalan keselamatan bagi syarikat Rapid Security Sdn. Bhd. sejak November 2019 sehingga Mac lalu.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan reman tersebut.

Sumber : Utusan Malaysia

Hit : 1988