Berita Menarik

Leftenan Kolonel ATM didakwa rasuah kerja-kerja kem

Seorang Penolong Pegawai Pemerintah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Leftenan Kolonel didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tiga pertuduhan rasuah bernilai RM2,500 bagi kerja-kerja di Kem Paya Jaras, Sungai Buloh dekat sini, tahun lalu.

Tertuduh, Shafizan Amin,47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan , Shafizan yang merupakan Penolong Pegawai Pemerintah Rejimen Perhubungan Strategik, Kem Paya Jaras telah menerima wang tunai keseluruhan RM2,500 secara berperingkat yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank seorang wanita.

Wang itu diberikan seorang lelaki yang merupakan pemilik sebuah syarikat swasta yang diketahui tertuduh mempunyai tugas rasminya iaitu berkenaan kerja-kerja di kem tersebut.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Putra Heights, Subang bermula 2 Mei hingga 28 Julai, tahun lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan, sekiranya disabitkan kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Aliff Shahruzaman menawarkan jaminan RM10,000 untuk kesemua pertuduhan bersama seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri minggu pertama setiap bulan.

Peguam Mohd. Aidil Arsad dan Mohd. Shukri Ahmad Mansor mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan susulan tertuduh telah diisytiharkan bankrap pada 2018 dan hanya menyediakan RM4,000 pada hari ini.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 bersama seorang penjamin dan melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam setiap awal bulan serta tidak dibenarkan memperbaharui pasport.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Oktober depan.

Kosmo! pada 2 April lalu melaporkan seorang pegawai kanan Tentera Darat berpangkat Leftnenan Kolonel direman tujuh hari bagi membantu siasatan rasuah berjumlah RM16,000 untuk kerja-kerja di sebuah kem di Selangor selama setahun bermula 2019.

Sumber : -K!ONLINE


Hit : 2231