Berita Menarik

SPRM tahan penguat kuasa PBT

PUTRAJAYA: Seorang pegawai penguat kuasa berkuasa tempatan (PBT) ditahan reman lima hari bermula hari ini, kerana disyaki mengemuka tuntutan palsu berjumlah hampir RM27,000.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman sehingga 25 September, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, suspek yang berusia 24 tahun itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Difahamkan, suspek yang bertugas di PBT itu mengemuka tuntutan palsu berkaitan sewaan perkhidmatan lori dengan menggunakan resit yang mengandungi butiran palsu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Anuar Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sumber : Berita Harian

Hit : 1887