Berita Menarik

Jurutera jabatan kerajaan, kontraktor direman bantu kes minta dan terima suapan

Seorang jurutera sebuah jabatan kerajaan dan seorang kontraktor direman lima hari bermula hari ini selepas kedua-dua mereka disyaki meminta serta menerima wang suapan bernilai RM5,000 daripada seorang pemilik syarikat pada pertengahan tahun 2019.

Perintah reman sehingga 18 September depan itu dikeluarkan oleh Majistret, Norzaliza Tesmin di Mahkamah Khas Reman Seremban selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan membuat permohonan tersebut pagi ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang masing-masing berusia 35 dan 51 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan antara pukul 4.30 hingga 6.30 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, jurutera tersebut telah meminta dan menerima wang suapan daripada seorang pemilik syarikat setelah mendapatkan projek berhubung kerja-kerja senggara pemasangan dan pendawaian elektrik rumah di sebuah daerah di negeri ini.

Wang tersebut kemudian telah diterima melalui seorang lagi suspek iaitu kontraktor yang merupakan kenalan kepada jurutera tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail mengesahkan penahanan terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sumber : Utusan

Hit : 1984