Berita Menarik

Bekas kakitangan JAIM direman bantu siasatan seleweng gaji

MELAKA: Bekas kakitangan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) direman lima hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan kutipan bayaran lebihan gaji guru kontrak jabatan itu membabitkan nilai lebih RM195, 000, empat tahun lalu.

Tempoh reman sehingga Ahad ini terhadap suspek berusia 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Suspek yang memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh jam 8.35 pagi sebelum dibawa keluar satu jam 30 minit kemudian.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Sharil Che Saad ketika dihubungi, mengesahkan penahanan suspek dan katanya, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang dijalankan.

Sumber : Berita Harian

Hit : 1773