Berita Menarik

Didenda RM35,000, mengaku salah palsukan dokumen

Shah Alam: Bekas pengarah serta pengurus sebuah syarikat pembekalan didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memalsukan dokumen membekalkan dakwat pencetakan pada 2017.

Hukuman denda itu dijatuhi Hakim Rozilah Salleh terhadap tertuduh, Norehan Mat Yusof, 43, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan selesai dibacakan.

Dalam prosiding berkenaan, mahkamah turut mengarahkan wanita itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Rozilah dalam penghakimannya percaya pengakuan yang dibuat tertuduh timbul dari rasa keinsafan atas kesalahan yang dilakukan.

"Saya berharap hukuman ini menjadi kifarah kepada puan (tertuduh) dan saya doakan puan 'move on'," katanya.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada tujuh anak itu didakwa dengan curang menggunakan satu dokumen tulen iaitu invois bagi pembekalan barang habis pesanan kerajaan berjumlah RM93,685.30 kepada seorang pegawai kewangan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pulau Indah yang berpangkat Leftenan Komander.

Dokumen itu mengandungi penyataan palsu mengenai pembekalan dan penghantaran barangan iaitu empat jenis dakwat pencetak berjumlah RM57,600 yang tidak dibekalkan.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di PHN TLDM, Pulau Indah pada 28 September 2017.

Peguam Sharen Rosli yang mewakili tertuduh memohon hukuman diringankan memandangkan tertuduh sudah tidak bekerja di syarikat itu selepas kontraknya tamat pada Januari 2019.

"Anak guam saya mempunyai tujuh anak termasuk anak angkat berusia tujuh hingga 22 tahun dengan purata pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebagai jurujual sambilan," katanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berikutan ia adalah kesalahan yang serius serta menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1715