Berita Menarik

Pengasas Big Blue Taxi didakwa terima rasuah RM85,000

SHAH ALAM: Pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membabitkan rasuah berjumlah RM85,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh, Shamsubahrin, 55, selepas Hakim, Rozilah Salleh membatalkan waran tangkap terhadapnya kerana sebelum ini beliau  gagal hadir hadir ke mahkamah untuk mendengar pendakwaan pada 25 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan,  ahli perniagaan itu didakwa meminta dan menerima rasuah yang semuanya berjumlah  RM85,000 secara berperingkat daripada seorang lelaki berusia 42 tahun.

Wang tersebut sebagai dorongan bagi menyelesaikan kes individu berkenaan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Bandar Baru Bangi, Bandar Teknologi Kajang dan Bukit Jelutong pada 3, 7 dan 10 Mac lalu.

Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM50,000 bersama seorang penjamin serta Shamsubahrin diarahkan  melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat.

“Selain itu, pihak pendakwaan memohon kes rasuah yang telah didakwa di  Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dipindahkan dan disebut bersama kes di mahkamah ini,” jelasnya.

Tertuduh diwakili Peguam Sharuddin Ali, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi dan Zarina Ismail memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh kurang berisiko untuk melarikan diri kerana beliau mempunyai rawatan lanjut di hospital akibat komplikasi paru-paru selepas dijangkiti Covid-19.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bersama seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes  pada 8 Oktober depan.

Terdahulu, Syamsubahrin dikenakan waran tangkap selepas Rozilah memaklumkan mahkamah tidak menerima makluman rasmi daripada pihak tertuduh mengenai jangkitan Covid-19 yang dialami serta rawatan penyakit lain yang dijalani tertuduh.

Sumber : UTUSAN


Hit : 1452