Berita Menarik

Ops Selat: Pegawai Imigresen didenda RM50,000

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Imigresen yang ditahan dalam Ops Selat dijatuhi hukuman denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM15,000 bagi membantu pelepasan beberapa warga asing di kaunter Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), pada Oktober dan November tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Yusrazif Wan Yusoh, 42, selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan pindaan yang dibacakan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga kelima, tertuduh sebagai seorang penjawat awam didakwa telah menerima benda berharga tanpa suatu balasan iaitu deposit tunai dan pindahan wang secara atas talian berjumlah RM15,000 daripada Yuen Hon Loong.

Ia yang mana tertuduh ketahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya melibatkan pelepasan warga Filipina dan China melalui Kaunter Imigresen, Balai Pelepasan, KLIA 2, Sepang, Selangor.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Alliance Islamic Bank Berhad cawangan Putrajaya, Menara Ikhlas, Presint 3, Putrajaya antara 28 Oktober dan 16 November 2020 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Yusrazif merayu hukuman ringan berbentuk denda atas alasan dia telah insaf selain masih menanggung isteri dan empat orang anak.

“Anak guam saya merupakan salah seorang daripada dua pegawai Imigresen yang membantu pihak berkuasa untuk menjatuhkan sindiket cop palsu. Dia juga menghidap penyakit diabetes dan buah pinggang,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Shahrom Idris memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan peringatan kepada orang awam.

“Hukuman yang dijatuhkan perlu menggambarkan keseriusan kesalahan yang dilakukan dan sebagai amaran kepada masyarakat agar tidak melibatkan diri dengan rasuah,” katanya.

Sumber : K!ONLINE


Hit : 2967