Berita Menarik

Palsukan butiran syarikat, SPRM tahan bekas pembantu tadbir

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pembantu tadbir yang dipercayai menyalahguna kuasa dan kedudukannya memalsukan butiran tiga syarikatnya bagi mendapatkan kerja pembekalan bernilai RM1.03 juta, antara 2016 hingga 2019.

Lelaki berusia 35 tahun dan bekas pembantu tadbir gred N19 itu ditahan kira-kira jam 11.30 pagi tadi di pejabat SPRM, di sini, bagi membantu siasatan sedang dijalankan.

"Siasatan dijalankan mendapati suspek ketika bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah pejabat kerajaan negeri ini, menggunakan kedudukannya sebagai urus setia dalam jawatankuasa sebut harga.

"Ia bagi mendapatkan kerja pembekalan 'toner' bernilai kira-kira RM1.03 juta dengan memalsukan butiran pemilikan tiga syarikatnya, dari tahun 2016 hingga 2019," kata SPRM dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi serta penjara maksimum 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan berkenaan.

Sumber : Berita Harian


Hit : 1475