Ahli JKMR Hadiri Taklimat Pertama Bersama Pengurusan Tertinggi SPRM
PUTRAJAYA, 3 Sept. – Seramai tujuh orang ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) baharu telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 15 Julai lalu hingga 14 Julai 2024.
Semua ahli JKMR berkenaan terdiri dalam kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang mewakili parti kerajaan dan pembangkang di mana Yang di-Pertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim telah dilantik sebagai Pengerusi.
Sehubungan dengan itu, satu Taklimat Khas Kepada Ahli JKMR oleh Pengurusan Tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diadakan secara fizikal dan juga maya dengan mengambil kira pelaksanaan langkah-langkah pencegahan prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19 pada hari ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, taklimat khas ini diadakan bagi memperkenalkan keanggotaan JKMR yang baharu kepada sejarah penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/ SPRM, struktur organisasi dan fungsi-fungsi SPRM sebagaimana yang diperuntukan di dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), tiga strategi dalam pelaksanaan fungsian SPRM, pengkhususan bahagian-bahagian di ibu pejabat SPRM dan peranan SPRM dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP 2019-2023) yang diterajui oleh Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC).
“Saya berharap sesi taklimat khas ini dapat memberi manfaat kepada JKMR serta membantu untuk memahami SPRM secara keseluruhan dan secara tidak langsung dapat memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti SPRM dalam melaksanakan fungsi-fungsinya,” ujarnya.
Tambahnya, JKMR diwujudkan secara perundangan berdasarkan peruntukan Seksyen 14 Akta 694 yang memberikan JKMR tanggungjawab untuk melaksanakan fungsi-fungsi seperti menasihati YAB Perdana Menteri mengenai sebarang aspek masalah rasuah di Malaysia; memeriksa ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tentang perjalanan SPRM berkaitan fungsinya serta mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai Laporan Tahunan SPRM.
Selain itu, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais turut menyatakan bahawa pertemuan ini adalah sangat bermakna kepada semua ahli JKMR yang baharu dan beliau mempunyai harapan tinggi untuk membantu SPRM dengan sebaik mungkin terutamanya dalam agenda memperkasakan pencegahan rasuah dan untuk memberikan impak yang terbaik serta bermanfaat kepada negara.
Ahli JKMR yang menghadiri sesi ini secara dalam talian adalah Ahli Dewan Negara, YB Senator Ir. Tuan Md Nasir Hashim, Ahli Dewan Negara, YB Senator Tuan Zaiedi Haji Suhaili, Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Tuan Hassan Abdul Karim serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, YB Tuan Wong Hon Wai.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Junipah Wandi serta Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, TPj Mohd Hafaz Nazar.