Berita Menarik

Pegawai Perangkawan terima rasuah didenda RM53,000, penjara sehari

SHAH ALAM: Padah seorang penjawat awam menerima rasuah RM4,390 bagi pembekalan kontrak dan meluluskan tuntutan perjalanan palsu dijatuhkan hukuman denda RM53,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen.

Tertuduh, Noor Azlin Jaafar, 38, didakwa melakukan kesalahan itu pada dua tahun lalu diarahkan oleh Hakim, Rozilah Salleh menjalani kedua-dua hukuman serentak bermula semalam.

Malah, mahkamah turut menetapkan hukuman penjara keseluruhan 10 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Dalam penghakimannya Rozilah berkata, sebagai penjawat awam telah menunjukkan contoh yang tidak baik kepada pegawai bawahan.

“Pastikan anak-anak kamu dididik dengan baik selepas ini. Apa yang penting adalah pengakhiran kita, bukan bagaimana kita bermula,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pilihan rasuah, ibu tunggal kepada dua anak kembar itu telah menerima wang tunai RM4,100 daripada seorang individu bagi kerja percetakan borang soal selidik guna tenaga dan gaji upah dengan harga kerja RM12,285 melalui pesanan kerajaan (PO).

Tertuduh juga didakwa dengan satu pertuduhan menerima wang tunai RM290 daripada seorang pekerja wanita di jabatan itu bagi meluluskan tuntutan palsu bernilai RM727.50.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di lokasi tempat kerja di Jabatan Perangkaan Selangor di antara September dan Oktober, 2019.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab memohon agar kesemua 43 pertuduhan utama dan 41 pertuduhan pilihan yang dikenakan terhadap tertuduh ditarik balik mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, Azizzul Shariman Mat Yusoff dan Nur’ain Shahiera Khalid membayar kesemua denda terbabit.

Sumber : Utusan Malaysia

Hit : 2237