Kolumnis@SPRM

Tiga Strategi Utama Tangani Rasuah, Kartel Projek Sektor Pembinaan


Prof Madya Dr Sarajul Fikri Mohamed

Pengurus Besar

Pusat Pendidikan Berterusan UTMSPACE, 

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

 

Rasuah sering berlaku dalam industri pembinaan terutama sistem perolehan kerajaan dan swasta kerana membabitkan jumlah perbelanjaan kewangan besar serta kesukaran untuk memantau proses perbelanjaan dilaksanakan.

Dalam aspek ini, sifat jujur dan profesional sangat penting dibudayakan bagi mengelakkan ketirisan perbelanjaan projek.

Dari perspektif antarabangsa, Bank Dunia menyifatkan rasuah sebagai endemik yang menyebabkan ekonomi negara menjadi lemah, manakala pembangunan sosial dan infrastruktur tidak berkembang.

Namun, industri pembinaan di negara ini menjadi cabang utama penggerak ekonomi negara merentasi pelbagai bidang industri meliputi industri pembuatan, minyak dan gas, infrastruktur bandar serta luar bandar dan bekalan tenaga negara.

Berdasarkan rekod semasa hingga 2018, nilai keluaran kasar industri pembinaan direkodkan dalam lingkungan RM200 bilion setiap tahun dengan penumpuan utama kerajaan kepada projek pembinaan infrastruktur utama negara seperti lebuh raya, Transit Aliran Massa (MRT), bekalan air dan infrastruktur luar bandar.

Mutakhir ini, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan dan tangkapan berterusan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pelbagai projek pembinaan sama ada pegawai dan perunding daripada badan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak swasta.

Jumlah ketirisan agihan projek dan amalan rasuah sentiasa tinggi sehingga memerlukan disiplin penyiasatan sistematik serta strategi efektif dalam meneliti dan memantau kontrak pembinaan yang semakin moden.

Ia lebih-lebih lagi diperlukan dalam sistem perolehan projek mega seperti Inisiatif Kewangan Swasta (PFI), Kerjasama Awam dan Swasta (PPP) dan Reka dan Bina.

Sistem perolehan dan pengurusan kontrak projek memerlukan tahap integriti serta etika profesional tinggi bagi menjamin kualiti fizikal projek, sekali gus mencapai objektif utama dalam menyediakan pembangunan sosioekonomi negara.

Dalam usaha mengatasi amalan rasuah dan salah guna kuasa, pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk memastikan dana awam dapat digunakan untuk memberi impak maksimum dalam pembangunan sosial ekonomi negara.

Oleh itu, terdapat tiga strategi utama dalam mengatasi amalan rasuah sama ada membabitkan suapan, salah guna kuasa dan kartel projek, iaitu pelaksanaan sistem pengurusan antirasuah piawaian antarabangsa, memperkasa pasukan pemeriksa dalaman dan melantik perunding bebas pemantauan projek secara sistematik.

Strategi pertama membabitkan pelaksanaan ISO37001. Sistem Pengurusan Anti Rasuah oleh Lembaga Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia ini ialah inisiatif strategik dalam memastikan syarikat kontraktor, agensi pelaksana, PBT dan pihak swasta bergerak seiring dalam mengenal pasti dan bertindak balas terhadap amalan membabitkan rasuah dan salah guna kuasa.

Strategi kedua membabitkan peranan kerajaan, PBT dan agensi swasta untuk memperkasa pasukan pemeriksa dalaman secara berkala serta rawak. Ini dapat membantu organisasi memantau secara berterusan proses perolehan dan pengurusan kontrak projek dari peringkat awal hingga penyiapan projek.

Pemilihan projek secara rawak akan memastikan pegawai korup dan pengamal rasuah tidak dapat meramal serta mengelakkan dikesan pasukan pemeriksa dalaman.

Strategi ketiga bersifat luaran dengan agensi terbabit berusaha melantik perunding bebas pemantauan projek. Pelantikan ini memerlukan tapisan terperinci dengan perunding dilantik hendaklah mengamalkan nilai profesional dan etika tinggi.

Proses penyeliaan dan pemantauan dilaksanakan dari peringkat prakontrak seperti pengambilan tanah, peringkat tender seperti penilaian penender serta pembinaan seperti pemilihan dan pengujian bahan binaan.

Amalan pelantikan perunding bebas diamalkan China mendapat reaksi dan keputusan positif terhadap industri pembinaan negara itu.

Justeru, usaha mengatasi jenayah rasuah menjadi proses penambahbaikan berterusan dan memerlukan kerjasama semua lapisan masyarakat.

Strategi jangka panjang seperti menerapkan nilai etika dan jujur kepada diri sendiri, organisasi serta negara, diamalkan negara maju seperti United Kingdom (UK), New Zealand dan Hong Kong.

Pembangunan modal insan jujur dan beretika tinggi hendaklah diterapkan dalam masyarakat melalui medium pendidikan peringkat rendah serta pendidikan peringkat tinggi.

Dengan ini, industri pembinaan akan menjadi asas utama dan pemangkin kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Hit : 272