SPRM tahan pegawai awam isu pembekalan peralatan penyelamat
PUTRAJAYA – Seorang pegawai awam ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah ribuan ringgit daripada kontraktor berhubung pemberian kontrak pembekalan peralatan penyelamat bernilai lebih RM190,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.45 pagi tadi di Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.
Sumber menjelaskan, projek tersebut melibatkan pembekalan peralatan menyelamat kepada sebuah agensi pasukan penyelamat.
Bagaimanapun, difahamkan suspek itu dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas memberi keterangan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Anuar Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut namun, enggan mengulas lanjut.
Sumber : K!ONLINE