Berita Terkini

Dua Sesi Penerangan Liabiliti Korporat Mendapat Sambutan

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Webinar Siri 2: Kesalahan Rasuah Oleh Organisasi Komersial (Liabiliti Korporat) Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sekali lagi telah diadakan bersama syarikat di bawah sektor korporat yang melibatkan 60 orang peserta hari ini. Ia merupakan kesinambungan kepada Webinar Siri 1 yang telah diadakan pada 22 Julai 2021 sebelum ini yang mendapat sambutan ramai yang turut meminta diadakan sesi yang sama pada masa akan datang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, suatu organisasi komersial itu melakukan kesalahan sekiranya “seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial itu” melakukan rasuah atau memberi suapan kepada mana-mana orang dengan niat memperoleh atau mengekalkan perniagaan bagi organisasi komersial itu, atau memperoleh atau mengekalkan faedah dalam menjalankan perniagaan bagi organisasi komersial itu.

“Di bawah seksyen tersebut juga, seorang yang 'bersekutu' dengan organisasi komersial ditakrifkan sebagai seorang Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif atau pekerja organisasi komersial itu adalah orang yang melaksanakan perkhidmatan untuk atau bagi pihaknya,” katanya.

Tambah beliau, bagi membantu organisasi komersial melaksanakan Tatacara Yang Mencukupi dalam operasinya, satu garis panduan telah dikeluarkan berkaitan seksyen tersebut bagi membantu organisasi komersial mencegah berlakunya rasuah dalam aktiviti perniagaannya. Program ini adalah inisiatif beliau sendiri dalam usaha menyebarluas peruntukan seksyen ini.

Sementara itu, SPRM Negeri Perak juga dengan jayanya telah menganjurkan ‘Program Integriti Bersama Kerajaan Negeri Perak' pada 17 Ogos lalu secara maya menggunakan aplikasi Zoom Webinar.

Dato' Sri Shamshun Baharin yang turut mengendalikan sesi penerangan berkaitan peruntukan Liabiliti Korporat ini berkata, dalam konteks Kerajaan Negeri Perak, mana-mana agensi di bawahnya boleh didakwa dan dihukum sekiranya membenarkan pegawai atau kakitangan mereka melakukan rasuah untuk memperoleh sesuatu projek atau mendapat apa-apa faedah bagi organisasi komersial itu.

"Seksyen 17A Akta SPRM 2009 meletakkan tanggungjawab pencegahan rasuah ke atas organisasi komersial dan pengurusannya. Kegagalan untuk mencegah rasuah boleh menyebabkan syarikat didakwa dan dihukum di bawah peruntukan ini,” katanya

Tambah beliau, organisasi komersial boleh disabit kesalahan hukuman di bawah Seksyen 17A adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau dipenjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Penganjuran program dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak ini telah mendapat penyertaan seramai 74 orang peserta. Usaha berterusan ini akan diadakan secara berkala dan pada kali ini telah disertai oleh TKP (Pencegahan) SPRM sebagai ahli panel. Kesemua peserta terdiri daripada pegawai eksekutif dan pengurusan tertinggi agensi berkanun negeri dan anak syarikat di bawah Kerajaan Negeri Perak supaya dapat lebih memahami peruntukan seksyen ini yang telah mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020 yang lalu.

Turut hadir Pengarah SPRM Negeri Perak, Dato’ Mohd Fauzi Mohamad, Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri Perak, Nor Sham Rahman Ketua Unit Integriti Kerajaan Negeri Perak, Tuan Jacob Raju a/l Jayadurai.


Hit : 1790