Kes-kes Menarik

Jurutera, Penolong Jurutera Antara lima ditahan rasuah

Shah Alam: Lima individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor dengan jumlah keseluruhan dianggarkan lebih RM130,000.

Individu yang ditahan ialah seorang jurutera serta dua penolong jurutera sebuah jabatan kerajaan manakala dua lagi ialah pengurus syarikat kontraktor.

Menurut sumber, semua suspek lelaki berusia 37 hingga 45 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor antara jam 1.30 tengah hari hingga 5 petang tadi selepas hadir memberi keterangan.

Katanya, sekitar 2019 hingga tahun lalu, jurutera dan seorang penolong jurutera yang bertugas di sebuah daerah di Selangor dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor terbabit bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz.

Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek itu namun menggunakan nama syarikat-syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek berkenaan.

Manakala seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama pula dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada jam 9 pagi esok untuk permohonan reman.

Sumber : BERNAMA

Hit : 462