Kes-kes Menarik

Kontraktor di penjara, gagal bayar denda RM1.5 juta

ALOR SETAR: Seorang kontraktor didenda RM1.5 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan berjumlah RM512,090 dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2014 dan 2015.

Hakim, Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Nazrul Idham Abu Nasir, 44, membuat pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

Tertuduh didenda RM500,000 bagi setiap pertuduhan pertama, kedua dan keenam atau dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan.

Sementara bagi tiga lagi pertuduhan, mahkamah memutuskan mengguna pakai Take Into Consideration (TIC) di bawah Seksyen 171 A Kanun Tatacara Jenayah.

Nazrul Idham bagaimanapun gagal membayar denda dikenakan dan dia kemudian dihantar ke Pusat Koreksional Kamunting, Perak untuk menjalani hukuman penjara.

Bagi pertuduhan pertama hingga kelima, Nazrul yang merupakan bapa kepada tiga anak didakwa dengan curangnya menggunakan lima invois palsu yang berbeza untuk membuat tuntutan tersebut.

Kesemua invois atas nama syarikat Hatching Technology Sdn. Bhd. itu adalah berkaitan urusan membekal dan menyediakan perkhidmatan pakej latihan Pusat Kecemerlangan Industri: Pembangunan Modal Insan Dalam Sektor Pemborongan dan Peruncitan dengan setiap satu invois tersebut berjumlah RM98,518.

Bagi pertuduhan pertama, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di depan UUM, Kubang Pasu pada 10 Mac 2015.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pusat Kerjasama Universiti Industri (CUIC) UUM antara 17 Mac 2015 hingga 19 Mei 2015.

Bagi pertuduhan keenam, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan borang pesanan perkhidmatan bernombor P25/14 berkaitan perkhidmatan membekal dan menyediakan pakej latihan ‘dashboard’ untuk peserta program anjuran CUIC di Universiti Malaya, Kuala Lumpur bertarikh 21 Januari 2014 dan invois Hatching Technology Sdn. Bhd bagi membuat tuntutan berjumlah RM19,500.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CUIC, UUM di Sintok pada 30 Januari 2014.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan sementara tertuduh diwakili peguam, Evawani Farisyta Mohammad dan Jamaludin Abdul Jalil. 

Sumber : Utusan Online

Hit : 603