Kes-kes Menarik

Cuba sogok polis RM21,000, wanita ditahan

KUALA LUMPUR - Seorang wanita ditahan kerana cuba memberi sogokan berjumlah RM21,000 kepada dua pegawai supaya membebaskan tunangnya yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam, pihaknya telah memberi amaran kepada wanita berusia 22 tahun itu supaya tidak meneruskan niat untuk memberi sogokan.

"Namun, suspek tidak mengendahkan amaran tersebut. Wanita itu telah ditangkap atas kesalahan menawarkan suapan kepada pegawai polis. Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM21,000," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Eng Lai berkata, suspek dan barang kes akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak sesekali cuba memberikan rasuah atau sogokan kepada anggota polis yang menjalankan tugas.
"Sebarang tindakan sedemikian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009)," katanya.
Eng Lai berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki yang sedang memandu sebuah kereta jenis Myvi di kawasan perumahan di Jalan Ipoh, di sini pada jam 5.30 petang, Khamis
"Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan, kita merampas 13 paket plastik berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 168.66 gram dan tiga paket plastik berisi dadah disyaki heroin (2.92 gram) dianggarkan bernilai RM16,968.20," katanya.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah tetrahydrocannabinol (THC).
"Semakan lanjut mendapati suspek memiliki satu rekod dadah. Suspek kini ditahan reman tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis ini.
"Kes disiasat di bawah seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.

Sumber : Sinar Harian


Hit : 440