Berita Menarik

Lelaki disyaki jadi orang tengah Datuk Bandar ditahan

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang Johor menahan seorang lelaki tempatan disyaki menjadi orang tengah kepada seorang Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) di bandar raya ini.

SPRM menerusi kenyataan berkata, siasatan yang dijalankan mendapati individu berusia 60 tahun itu bertindak sebagai orang tengah bagi mendapatkan wang rasuah daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan kerja yang dilaksanakan.

Katanya, ia bagi projek yang dikeluarkan oleh PBT itu bagi tempoh tahun lalu dan tahun ini.

"Suspek yang juga seorang pesara ditahan jam 9 malam tadi di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada hari ini di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Terdahulu, seorang Datuk Bandar PBT di negeri ini direman tiga hari mulai Rabu lalu bagi membantu siasatan kes menerima rasuah.

Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim, membenarkan perintah reman tiga hari itu selepas mendengar permohonan SPRM.

Pegawai kanan kerajaan Johor berusia 60 tahun itu kini bertugas sebagai Datuk Bandar ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah yang sedang dijalankan ketika menjawat jawatan sama di sebuah lagi PBT di negeri ini

Sumber : Berita Harian

Hit : 1818