Berita Menarik

Pengarah jabatan, kontraktor direman kes rasuah RM200,000

Georgetown: Pengarah Jabatan Kejuruteraan di sebuah majlis perbandaran di Kedah dan seorang kontraktor direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan jumlah RM200,000, dua tahun lalu.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown Nur Fardrina Zulkhairi membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bermula hari ini sehingga 14 Ogos.

Kedua-dua suspek lelaki masing-masing berusia 41 dan 48 itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang di sini, kira-kira 11 pagi semalam.

Menurut sumber SPRM, pengarah berusia 41 tahun itu dipercayai menyalahgunakan kuasa bagi mencadangkan syarikat milik bapanya memperoleh projek yang dikeluarkan kerajaan pada 2019.

Sumber : Harian Metro


Suspek dikatakan membuat cadangan itu kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah membabitkan projek kerja menurap dan menyelenggara jalan di sebuah daerah di negeri ini.

Sementara, kontraktor berusia 48 tahun itu pula dipercayai turut mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.

Terdahulu kedua-duanya tiba di mahkamah kira-kira 10 pagi dengan memakai baju SPRM diwakili peguam Parmjit Singh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan SPRM akan memanggil beberapa orang saksi bagi siasatan lanjut.


Hit : 2005