Berita Menarik

Dokumen palsu: Penolong Jurutera MBIP, pemilik syarikat direman enam hari

JOHOR BAHRU: Seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan seorang pemilik syarikat kontraktor direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana kesalahan mengemukakan dokumen palsu.

Penolong jurutera berkenaan berusia 36 tahun itu dan pemilik wanita syarikat kontraktor berusia 45 tahun ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri pada pukul 6 petang semalam.

“Hasil siasatan dijalankan mendapati penolong jurutera tersebut dipercayai bersubahat bersama pemilik syarikat kontraktor yang mempunyai dua syarikat berdaftar miliknya dengan mengemukakan dokumen dan sijil mengandungi butiran palsu.

“Antara dokumen berkenaan ialah  Perolehan Kerja Kerajaan CIDB, Perakuan Pendaftaran CIDB Malaysia dan sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera dengan Kementerian Kewangan.

“Dokumen tersebut kemudian diserahkan kepada pihak MBIP bagi mendapatkan kelulusan kerja-kerja di pihak berkuasa tempatan itu sepanjang tahun 2018 sehingga 2020,” jelas kenyataan SPRM di sini, hari ini.

Menurutnya, antara projek berkaitan adalah Kerja Mengikis Permukaan Jalan, Menurap Semula Jalan serta Mengecat Semula Petak Meletak Kenderaan yang melibatkan jumlah keseluruhan tuntutan lebih RM350,000.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun,” ujar kenyataan itu.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan penahanan tersebut, manakala perintah reman dikeluarkan Majistret Nurmadiana Mamat. –

Sumber : UTUSAN ONLINE


Hit : 1894