Kes-kes Menarik

SPRM reman Pengurus Felda lima hari

KUANTAN – Seorang Pengurus Felda direman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang setelah disyaki menyalahgunakan kedudukan sebagai pegawai melibatkan projek pertanian bernilai RM64,739.

Pengarah SPRM Negeri Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Menurutnya, pegawai itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Tertuduh merupakan pegawai Felda disyaki telah menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perolehan Rancangan (JKPR) dengan melantik syarikat yang beliau mempunyai kepentingan bagi projek tersebut,” katanya.

Pengurus berusia 38 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Pahang di antara pukul 7 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.

Perintah reman dikeluarkan selama lima hari mulai hari ini bermula 4 hingga 8 Ogos 2021.

Permohonan reman dibaca di hadapan Penolong Pendaftar Humairah KM Haider di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini.

Sumber : MalaysiaGazette

Hit : 596