Berita Menarik

Sarjan direman empat hari bantu siasatan kes minta suapan

SEREMBAN: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan berjumlah RM1,225.

Ia sebagai balasan membantu menguruskan kes seorang lelaki yang dituduh di Mahkamah Majistret Seremban.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Nur Haryatie Mohd. Saini mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Nur Haryatie membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 60 tahun itu bermula hari ini hingga 8 Ogos depan di lokap SPRM Seremban.

SPRM diwakili Pegawai Pendakwa, Mohd. Khairi Abdul Karim.

Terdahulu, orang yang disiasat itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira pukul 9.30 pagi dengan diiringi pegawai SPRM dan memakai baju lokap berwarna jingga.

Dalam prosiding yang dijalankan, anggota polis tersebut memohon tempoh perintah reman dikurangkan atas alasan ada masalah kencing manis dan darah tinggi selain kaki bengkak.

Menurut sumber, anggota polis yang bertugas di Balai Polis Nilai itu ditahan lebih kurang pukul 1.40 petang semalam ketika hadir ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

Difahamkan, dia telah meminta dan menerima rasuah RM1,225 sejak 3 November hingga 2 Disember 2020 daripada seorang wanita sebagai balasan membantu menguruskan kes perbicaraan mahkamah seorang tertuduh lelaki.

Sumber : Utusan

Hit : 1891