Berita Terkini

Integriti Dalam Pengurusan Koperasi

PUTRAJAYA, 2 OGOS – Koperasi ialah pertubuhan yang berautonomi yang mana anggotanya bersatu secara sukarela demi mencapai kepentingan bersama di bidang ekonomi, sosial dan budaya melalui suatu badan yang dimiliki bersama dan yang terkawal secara demokrasi.

Pengurusan integriti dalam koperasi tidak boleh dipadang enteng kerana tugas dan tanggungjawabnya berkait rapat dengan integriti.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, dalam konteks koperasi, mana-mana koperasi yang ada menubuhkan syarikat juga boleh didakwa dan dihukum sekiranya syarikat berkenaan membenarkan pegawai/kakitangan mereka melakukan rasuah untuk memperoleh sesuatu projek atau mendapat apa-apa faedah bagi organisasi komersial itu.

“Seksyen 17A Akta SPRM meletakkan tanggungjawab pencegahan rasuah ke atas organisasi komersial dan pengurusannya. Koperasi perlu menekankan usaha pemerkasaan integriti dan antirasuah dilaksanakan di peringkat dalaman koperasi termasuk anak-anak syarikatnya sebagai tindakan yang menyeluruh. Kegagalan untuk mencegah rasuah boleh didakwa dan dihukum di bawah peruntukan ini.

“Selain itu, tanggungjawab membuat laporan berkaitan jenayah rasuah merupakan tanggungjawab semua pihak bagi menjayakan usaha menangani gejala rasuah,” katanya.

Tambah beliau, organisasi komersial yang dituduh di mahkamah mesti membuktikan tatacara yang mencukupi untuk mencegah jenayah rasuah yang telah dilaksanakan dalam organisasi terbabit dengan melaksanakan beberapa langkah pencegahan. Antara langkah-langkah pencegahan rasuah yang perlu dilaksanakan adalah dengan memberi latihan dan komunikasi berkaitan program kesedaran anti rasuah, hebahan melalui buletin serta poster kepada warga kerjanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perkongsian Bicara Integriti Koperasi Siri 2 Kesalahan Rasuah Oleh Organisasi Komersial (Liabiliti Korporat) Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang diadakan secara maya Zoom Webinar anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) pada hari ini.

Turut hadir Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organisation Dato’ Abdul Fattah Abdullah; Naib Presiden ANGKASA Dr. Hj. Mohd Azlan Yahya serta Pengarah Bahagian Penyeliaan dan Tadbir Urus Suruhanjaya Koperasi Malaysia Tuan Hj Ibrahim Kasah.


Hit : 2389