Berita Menarik

Gagal lapor rasuah, wang, barang kemas RM210,000 dilucuthak

PETALING JAYA: Seorang pegawai Imigresen didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuching hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan gagal melaporkan suapan berjumlah RM8,200 yang diberikan kepadanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Steve Ritikos turut memerintahkan agar wang sebanyak RM200,000 yang disimpan di dalam akaun bank anak tertuduh, Dina Azanina Morshidi, 41, dan barangan kemas bernilai RM10,000 dilucuthak kepada kerajaan.

Pada awalnya, Dina Azanina yang sebelum ini bertugas di Kaunter Pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) dituduh atas 22 pertuduhan namun 20 daripadanya telah digugurkan selepas wanita terbabit mengaku bersalah atas dua pertuduhan alternatif.

Mengikut dua pertuduhan alternatif terbabit, tertuduh didakwa gagal melaporkan rasuah yang diberikan padanya oleh seorang bekas pegawai Imigresen, Mohd. Shah Ezywan Abd. Rahman pada 22 November dan 5 Disember 2017 di Maybank, Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching, Sarawak.

Rasuah tersebut diberikan sebagai dorongan kepada wanita itu untuk melepaskan beberapa individu warga China yang mempunyai pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen dan yang telah disenarai hitam ketika melalui kaunter pemeriksaannya.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif manakala Dina Azanina tidak diwakili peguam bela.

Pada 26 Februari lalu, Mohd. Shah Ezywan telah dijatuhi hukuman penjara 30 hari dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas dua pertuduhan menerima rasuah keseluruhannya berjumlah RM2,100 pada 2019 dan 2020.

Terdahulu, sebelum mahkamah menjatuh Dina Azanina merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana dia telah insaf dan perlu menjaga ibu yang uzur serta mempunyai anak yang masih kecil.

Tertuduh turut memaklumkan mahkamah bahawa sewaktu siasatan kes dijalankan, beliau telah mengalami keguguran ketika kandungannya berusia 14 minggu.

Selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan alternatif.

Selain memerintahkan agar wang RM200,000 dan barangan kemas bernilai RM10,00 dilucuthak, Ritikos turut memerintahkan tertuduh untuk dipenjara selama 20 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Sumber : Utusan

Hit : 2246