Kes-kes Menarik

Anggota Maritim Malaysia mengaku salah terima rasuah bulanan

Kuching: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berpangkat Pegawai Waran II didenda RM10,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah RM8,000 di Johor, tahun lalu.

Hakim Steve Ritikos membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Tamisan Tumen, 55, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, wang berkenaan diterima tertuduh sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap kapal milik sebuah syarikat yang berlabuh tanpa kebenaran pihak berkuasa di Selat Johor.

Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai pemangku Ketua Bot Penggalang 15 di Zon Maritim Tanjung Sedili, Johor, menerima wang berkenaan menerusi lapan transaksi yang dibuat ke akaun peribadi miliknya antara April hingga Disember tahun lalu.

Sebelum itu, pada April 2020, tertuduh meminta seorang lelaki bernama Othman Yacob yang bertugas sebagai Pegawai Keselamatan Marin sebuah syarikat perkapalan supaya mengemukakan dokumen daripada pihak berkuasa yang membenarkan kapal syarikat itu berlabuh.

Bagaimanapun, Othman gagal mengemukakan dokumen yang diminta dan lelaki itu menawarkan ganjaran bulanan jika tertuduh mengabaikan pemeriksaan terhadap kapal itu yang dimiliki oleh ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.

Tertuduh bersetuju dengan tawaran itu dan Othman kemudiannya memasukkan wang sebanyak RM1,000 sebulan ke akaun tertuduh pada April, Mei, Jun, Julai, Ogos, Oktober, November dan Disember 2020.

Ketika mengemukakan rayuan supaya dikenakan hukuman ringan, tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa ibunya meninggal dunia di Johor pada jam 8 pagi tadi dan dikebumikan pada jam 3 petang.

Tertuduh dalam rayuannya turut memaklumkan beliau mempunyai tanggungan lima anak dan seorang isteri serta akan bersara dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif dan tertuduh yang tidak diwakili peguam membayar denda yang dikenakan.

Sumber : Harian Metro

Hit : 382