Berita Terkini

Kerjasama SPRM, IPT Tingkatkan Pemahaman Rasuah

PUTRAJAYA, 29 Jul. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia bekerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dalam usaha meningkatkan kefahaman mengenai rasuah dalam kalangan mahasiswa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata kerjasama antara SPRM dan IPT dalam memupuk budaya antirasuah dalam kalangan mahasiswa adalah penting bagi melahirkan tenaga kerja serta pemimpin yang berintegriti tinggi pada masa hadapan.

"SPRM bersedia untuk membantu dari segi melaksanakan program dan pembelajaran mengenai antirasuah ini agar dalam masa empat ke lima tahun nanti, kita akan dapat melahirkan pelapis pemimpin dan tenaga kerja yang berintegriti tinggi.

“Persediaan awal terutama di peringkat IPT adalah sangat penting bagi memberi pemahaman kepada pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live bersempena pembentangan ‘Hasil Kajian Persepsi Kecenderungan Tingkah Laku Rasuah Dalam Kalangan Mahasiswa’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.

Tambah beliau, SPRM sangat berharap agar Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) akan dapat dipergiatkan bagi membantu pihak pengurusan IPT memberi pemahaman kepada kumpulan pelajar.

Program Sinar Live anjuran bersama Yayasan Antirasuah Malaysia (YARM) tersebut turut menampilkan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Dato' Hussamuddin Haji Yaacub dan mantan majistret, Firdaus Ramlan.

Hit : 1801