Kes-kes Menarik

Pegawai Tadbir MBSA dituduh terima wang RM36,000

SHAH ALAM- Pegawai Tadbir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM36,000.

Azlan Dolah, 45, merupakan penjawat awam gred N44 didakwa menerima suapan daripada Mohamad Shaharom Alias menerusi cek berkaitan tender Perkhidmatan Pembersihan Awam di Zon SA25 (A) Seksyen 32, Shah Alam.

Pada 13 Jun 2014, tertuduh menerima wang tunai RM12,000.

Manakala pada 9 Julai 2014, beliau didakwa menerima RM17,000 kemudian sekali lagi menerima RM 7,000 pada 13 Jun tahun yang sama.

Berdasarkan pertuduhan, beliau melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Sekiranya disabit kesalahan, Azlan boleh dipenjara sehingga dua tahun untuk setiap kesalahan menerima suapan yang dilakukannya.

Hakim Rozilah Salleh kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM13,000 yang dibayar okeh isterinya.

Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor sekali sebulan.

Terdahulu, peguamnya, Azizzul Shariman memohon cadangan jaminan daripada pasukan pendakwaan iaitu RM20,000 dikurangkan.

Ini berikutan, tertuduh kini digantung dan menerima separuh sahaja gaji setiap bulan, selain mempunyai tiga anak.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Azlan pula yang merupakan pengasas sekolah pendidikan khas Autisme antara yang terjejas pendapatan sejak  Perintah Kawalan Pergerakan.

Tarikh sebutan kes adalah pada 25 Ogos 2021.

Sumber : MalaysiaGazette


Hit : 271

Warga SPRM