Berita Terkini

Lapor Rasuah Tanggungjawab Semua – TKPP

Putrajaya, 22 Jul. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempergiat mesej bagi mendapatkan sokongan daripada semua pihak dalam memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa supaya lebih ramai tampil melaporkan kegiatan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil menegaskan tanggungjawab membuat laporan berkaitan jenayah rasuah merupakan tanggungjawab semua pihak supaya kebersamaan dalam memerangi jenayah ini dapat dihayati sepenuhnya.

“Gagal membuat laporan mengenai dijanji, ditawar atau diberi rasuah akan didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Gagal membuat laporan mengenai diminta atau cuba diperoleh (daripada beliau) suapan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali".

Beliau menegaskan demikian dalam sesi perkongsian Kesalahan Rasuah Oleh Organisasi Komersial (Liabiliti Korporat) Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang telah diadakan secara maya menggunakan aplikasi 'Zoom Webinar' pada hari ini.

Sesi perkongsian yang buat julung kalinya diadakan ini adalah merupakan inisiatif beliau untuk memberi lebih kefahaman mengenai peruntukan Liabiliti Korporat seperti yang telah dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020.

Pendaftaran bagi penyertaan sesi ini telah dibuka sejak 15 Julai 2021 dengan sasaran peserta dari agensi swasta dan korporat. Peserta yang berdaftar kemudiannya akan diberikan pautan sesi dan 'passcode' sebagai kebenaran bagi mengikuti sesi.

Seramai 155 peserta telah mengikuti sesi berkenaan di mana Dato' Sri Shamshun Baharin bercadang akan meneruskan sesi-sesi perkongsian seperti ini dengan tajuk-tajuk yang lebih menarik pada masa akan datang.


Hit : 2021