Kolumnis@SPRM

Jangan Suka Adu Rasuah Di Media Sosial


Oleh
PKPj KAMARUDDIN M. RIPIN
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Rasuah yang membarah dalam masyarakat bukan lagi asing apabila saban hari ada sahaja berita tangkapan membabitkan penyalahgunaan kuasa, penipuan atau rasuah dilaporkan di media massa.
  
Pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani isu rasuah yang membarah ini, namun masih wujud perspektif negatif dikalangan masyarakat yang berpendapat penguatkuasaan hanya membabitkan golongan bawahan atau lazimnya disebut ‘ikan bilis’.
  
Masyarakat umum lazimnya sekadar ‘melaporkan’ di ruang terbuka media sosial berbanding hadir membuat laporan dengan bukti yang berkualiti, dengan beranggapan bahawa bagi mereka sebagai golongan atasan atau digelar ‘jerung’ ini akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Sebenarnya, akses bagi mendapatkan maklumat tangkapan membabitkan rasuah ini tanpa mengira kelas sama ada bawahan atau atasan boleh diperoleh dengan mudah dengan melayari data terbuka di portal SPRM.

Sebagai contoh, SPRM melaporkan statistik tangkapan bermula dari Januari hingga Jun tahun ini sahaja, seramai 509 individu ditahan kerana terbabit rasuah.
  
Daripada jumlah itu, sebanyak 51 peratus atau bersamaan 260 tangkapan membabitkan orang awam, manakala bakinya 49 peratus lagi atau bersamaan 249 tangkapan membabitkan penjawat awam.
  
Mengikut statistik membabitkan sektor penjawat awam ini, tangkapan paling banyak adalah membabitkan Kumpulan Sokongan iaitu 169 tangkapan diikuti 74 tangkapan membabitkan Kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala bakinya 6 lagi membabitkan Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Daripada statistik ini, dapat dilihat tidak kira daripada mana kelas pekerjaan sekalipun, penguatkuasaan tetap dijalankan.

Perlu diketahui bahawa, tangkapan ini kesemuanya berjaya dilakukan hasil daripada maklumat berkualiti yang dilaporkan kepada SPRM oleh individu tertentu yang pastinya turut dilindungi oleh Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
  
Mereka ini tidak mengambil sikap dengan ‘melaporkan’ maklumat kosong atau ‘khabar angin’ yang disampaikan daripada satu mulut ke satu mulut yang lain di media sosial.
  
Sebaliknya, mereka tampil dengan bukti seperti siapa yang terbabit, bila dan dimana kejadian rasuah itu berlaku, kenapa ia dilakukan, bagaimana transaksi rasuah itu dilakukan selain siapa yang boleh membantu bagi mendapatkan maklumat.

Kesemua maklumat ini amatlah penting bagi membolehkan SPRM membuat penilaian dan seterusnya menjalankan siasatan lebih terperinci agar pelakunya dapat dihadapkan ke muka pengadilan.
  
Namun, hakikat masa kini lebih ramai suka mengadu di media sosial dengan menuduh berlakunya rasuah membabitkan sesebuah organisasi atau seseorang individu tanpa dapat memberikan bukti dan jika mereka dibawa sebagai saksi sekalipun mereka tidak dapat memberikan butiran lengkap.

Perlu diketahui bahawa tanpa bukti, setiap tuduhan berkenaan adalah tidak berasas di mahkamah dan bukan sahaja merugikan masa sebaliknya membabitkan kos.

Sesuai dengan peredaran masa, modus operandi atau corak jenayah ini juga turut menjadi semakin rumit apabila membabitkan sindiket terancang serta bersifat licik dan maklumat daripada orang ramai sememangnya sangat diperlukan.
  
Justeru, SPRM menyeru orang ramai untuk tampil dengan bukti yang berkualiti dan bukan dengan membuat tuduhan tanpa bukti yang berasas di media sosial.
  
Malah, sesuai dengan peredaran zaman serta kecanggihan teknologi, pelbagai kaedah untuk melaporkan jenayah rasuah ini boleh dilakukan antaranya membuat aduan di portaladuan.sprm.gov.my, dengan menggunakan aplikasi MACC Mobile, atau dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6000 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat SPRM terdekat.

Terdapat sebanyak 16 pejabat SPRM negeri selain 21 pejabat cawangan SPRM di seluruh negara yang sedia membantu pemberi maklumat sekali gus mengheret pelaku rasuah ke muka pengadilan.



Hit : 687

Warga SPRM