Berita Terkini

UKM Lancar PTI UKM 2021-2025, Tingkatkan Integriti Warga Kerja

Putrajaya, 14 Jul. – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan Pelan Tindakan Integriti (PTI) UKM 2021-2025 sebagai usaha membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) di peringkat agensi.

Ia merupakan universiti awam pertama di dalam negara yang telah membangunkan OACP dengan fokus meningkatkan nilai integriti warganya dalam melaksanakan tugas.

Majlis pelancaran secara maya telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di sini, hari ini.

Datuk Seri Azam dalam ucapannya berkata, SPRM sentiasa menyokong komitmen UKM untuk membudayakan nilai integriti, pemantapan tadbir urus serta melaksanakan usaha-usaha pencegahan rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran integriti di UKM.

“PTI UKM 2021-2025 akan menjadi suatu dokumen dasar integriti di peringkat UKM yang bertujuan untuk menambahbaik kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam UKM.

“Pelan ini akan bertindak sebagai satu pelan yang dapat memandu dan memacu UKM untuk terus kehadapan menjadi contoh governans terbaik kepada universiti awam yang lain,” ujar beliau.

Tambah beliau, tindakan ini dapat meningkatkan dan menjaga imej serta nama baik UKM sebagai institusi bertaraf dunia dan badan berkanun yang mengamalkan nilai integriti dan antirasuah yang tinggi.

Turut serta Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar dan Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj Toriman.

Hit : 2769