Kes-kes Menarik

SPRM tahan dua kakitangan Felda

TEMERLOH: Dua kakitangan Felda ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang rasuah daripada kontraktor berkaitan kes kecurian buah sawit di Felda Tembangau, Bera.

Dua suspek yang merupakan penyelia kanan dan pembantu tadbir di Felda Tembangau, Bera ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Temerloh kira-kira pukul 3 petang semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 31 tahun dan 34 tahun itu direman lima hari bermula hari ini selepas permohonan reman dibaca di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Temerloh, Hayatul Hafifie Hashim.

Kedua-dua suspek disyaki menerima rasuah masing-masing sebanyak RM8,000 dan RM2,000 daripada kontraktor berkaitan kes kecurian buah sawit.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim, ketika dihubungi berkata, kesemua individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.-

Sumber : UTUSAN ONLINE

Hit : 238