Berita Menarik

Bekas Adun hadapi 106 pertuduhan pengubahan wang haram

Butterworth: Jurubahasa mahkamah mengambil masa hampir empat jam untuk membaca kesemua 106 pertuduhan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung dan juga pengerusi lembaga pengarah koperasi hartanah yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini berkaitan dengan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM11 juta.

Datuk Ir Mansor Musa, 58, yang menjadi Adun ketika penggal 2004 hingga 2008, mohon untuk dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Jurubahasa mahkamah juga terpaksa membaca kesemua 106 pertuduhan itu di tiga mahkamah berbeza berikutan berlaku gangguan elektrik.

Mansor yang kini Ketua Bahagian Umno Bayan Baru didakwa terhadap 106 tuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan dirinya dalam urus niaga haram dengan menerima wang tunai, aset dan saham melalui syarikat yang berbeza antara September 2011 dan 10 Ogos tahun lalu.

Tertuduh berdepan 42 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 [Akta 613] (AMLATFA 2001) dan 64 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] (AMLATFAPUAA 2001).

Jika sabit kesalahan mengikut AMLATFA, tertuduh boleh dihukum tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi AMLATFAPUAA pula, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun atau boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram yang diambil.

Kes itu dikendalikan pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Muhamad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam, Kek Boon Wei dan Helen Ng.

Dalam prosiding itu, Faridz memohon kepada mahkamah supaya menetapkan wang jaminan sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, namun Boon Wei merayu supaya anak guamnya diberikan jaminan munasabah sebanyak RM100,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 September sebagai tarikh serahan dokumen.

Semalam, Mansor ditahan SPRM selepas dipercayai terbabit dalam pengubahan wang haran, menerima wang rasuah dan barangan berharga yang dianggarkan berjumlah lebih RM16 juta.

Menurut sumber, tertuduh itu secara keseluruhannya bakal berdepan 160 pertuduhan termasuk dengan 106 pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini.

Baki 54 lagi pertuduhan dijangka akan dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada minggu ini juga.

Sumber : Harian Metro

Hit : 3410