Berita Menarik

Bekas pengurus besar AKSB antara 3 ditahan berkait rasuah lebih RM27 juta

Kota Bharu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.

Dua lagi yang ditahan bersama bekas pengurus berumur 60 tahun itu adalah seorang pegawai AKSB yang berusia 39 tahun dan seorang pengurus projek sebuah syarikat berusia 43 tahun.


Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga mereka ditahan antara 4.25 petang dan 6.30 petang, semalam selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Kelantan, di sini.


SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini terhadap ketiga-tiga mereka.


Difahamkan, siasatan lanjut dilakukan atas dakwaan pembabitan mereka dalam rasuah daripada sebuah syarikat untuk mendapatkan projek dan kerja daripada AKSB, yang juga anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan.


Menurut sumber, kes berkenaan adalah antara kes berprofil tinggi yang membabitkan anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, dan siasatan lanjut mengenainya akan dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.


Sumber : Harian Metro


Hit : 2330