Kes-kes Menarik

SPRM tahan pembantu tadbir terima rasuah RM20,000

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pembantu tadbir selepas disyaki menerima rasuah kira-kira RM20,000.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 9 pagi Khamis.

Menurut sumber, lelaki yang memegang gred jawatan N22 itu dipercayai meminta rasuah daripada sebuah syarikat yang menguruskan kerja-kerja bot di sebuah pelabuhan di Kota Kinabalu dua tahun lalu.

Difahamkan, pembantu tadbir itu akan dituduh di Mahkamah Seksyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Jumaat.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kesalahan disiasat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Tawau, SPRM Sabah turut menahan seorang pemandu lori tempatan selepas disyaki memberi rasuah kira-kira RM1,000 kepada pihak polis.

Sumber berkata, wang itu diberikan sebagai balasan untuk melepaskan adik angkatnya iaitu seorang lelaki yang ditahan atas kesalahan judi sabung ayam.

Suspek yang berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 1 pagi Khamis oleh pegawai SPRM cawangan Tawau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Karunanithy turut mengesahkan penahanan itu dan lelaki terbabit disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

"Lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, Sabah dalam tempoh terdekat," katanya

Sumber : Sinar Harian


Hit : 869